PASIR PUTEH 26 Jan. – Dua murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Puteh (Lelaki), di sini mengharapkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang akan diagihkan dalam tempoh terdekat untuk mereka membeli kasut dan baju sekolah yang baru.
Nik Muhammad Zulkifli Nik Aziz, 12, dan Nik Muhammad Azri, 9, yang tinggal di sebuah pondok dalam kebun getah di Kampung Alor Pasir buat masa ini terpaksa memakai uniform sekolah lama dengan baju putih kekuningan dan kasut terpakai yang sudah koyak.
Nik Muhammad Zulkifli ketika ditemui berkata, dia bersama adiknya dapat ke sekolah hasil bantuan guru-gurunya.
“Sebelum ini kami gagal ke sekolah kerana bapa tidak mempunyai wang untuk membeli minyak motosikal. Jarak di antara rumah dan sekolah terlalu jauh.
“Soal makan kami tidak fikir sangat kerana sekolah telah menyediakan makan Rancangan Makanan Tambahan Sekolah (RMTS) untuk murid miskin,” katanya hari ini.

Ketika tinjauan ke lokasi pagi ini, keluarga itu sedang bersarapan dengan nasi yang berlaukkan telur dan kicap. Ibu mereka menggunakan kayu api untuk memasak.
Dalam pada itu, bapa murid berkenaan, Nik Aziz Nik Wail, 45, berkata harapan anak beranak untuk hidup lebih selesa hanya bergantung sepenuhnya dengan upah menoreh getah.
Menurutnya, pemilik kebun berkenaan membenarkan mereka tinggal di pondok itu dan membahagi dua hasil pendapatan jualan getah sekerap
“Sepanjang bulan Disember dan bulan ini pendapatan amat merosot kerana musim hujan yang membataskan kerja menoreh getah. Bagi mendapatkan wang belanja harian saya mencari daun palas untuk dijual,”katanya.
Nik Aziz berkata, ihsan pemilik kebun getah itu sudah mencukupi tanpa perlu menyewa rumah walau pun kadang kala terpaksa mengikat perut kerana ketiadaan wang untuk membeli makanan.
” Saya tidak boleh melakukan kerja berat kerana penyakit buasir kronik dan sering menghadapi masalah membuang air besar,” katanya. – UTUSAN ONLINE










