[VIDEO] Tiga sekeluarga maut kereta bertembung lori - Utusan Malaysia

[VIDEO] Tiga sekeluarga maut kereta bertembung lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 17 Jan. – Tiga sekeluarga maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan melibatkan kereta dan lori di Kilometer 63, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di Kampung Sungai Lakit di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 pagi itu, mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian ialah pemandu kereta jenis Perodua Viva, Siti Rasyidah Aidrus, 21; bapanya, Aidrus Ibrahim, 72, dan ibunya, Gayah Che Hassan, 65.

TIGA SEKELUARGA MAUT
 

Bagaimanapun, seorang pemandu lori jenis Isuzu dan dua kelindan yang cedera masih belum dikenalpasti identiti mereka.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, kejadian berlaku ketika tiga beranak berkenaan dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Krai.

Katanya, siasatan awal mendapati, ketika melalui jalan selekoh di kawasan kejadian, kereta yang dipandu Siti Rasyidah hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori muatan barangan runcit dari arah bertentangan.

TIGA SEKELUARGA
 

“Kejadian itu menyebabkan tiga beranak itu mengalami kecederaan parah selepas tersepit dalam kenderaan mereka yang separuh remuk itu.

“Sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. Manakala, pemandu dan kelindan lori dihantar ke Hospital Gua Musang untuk rawatan,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Taufik berkata, mayat tiga beranak yang beralamat di Kampung Awah, Paloh Rawa, Machang itu akan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketu Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Anuar Abas ketika ditemui di tempat kejadian kemalangan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.47 pagi.

Katanya, beliau mengetuai 11 anggota bersama tiga jentera bergegas ke lokasi kemalangan.

“Kita berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam masa setengah jam sebelum menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN