SELAYANG – Perbuatan kejam seorang pemandu teksi yang tergamak memasukkan seekor kucing betina bunting dalam mesin pengering pakaian sehingga mati di sebuah premis dobi September tahun lalu, akhirnya berbalas apabila dia dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi.
Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap A. Mohanraj, 42, selepas tertuduh menukar kepada pengakuan bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 14 September 2018.
Sebelum ini rakan Mohanraj, S.Satthiya, 27, dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan sama manakala seorang lagi K. Ganesh, 42, kekal pengakuan tidak bersalah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan kejam menyebabkan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap seekor kucing di premis Dobi Queen Self Service Laundry, Taman Gombak Ria antara pukul 12.54 tengah malam hingga 1 pagi pada 11 September 2018.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan seksyen itu, kedua-dua tertuduh boleh dihukum denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan sebab kesal dan insaf dengan apa yang telah dilakukan.
“Saya ingin memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan saya berjanji tidak akan mengulanginya lagi. Sepanjang ditahan saya telah dihina dan diejek oleh banduan lain kerana perbuatan saya ini ,” katanya.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Roslan Mohd Isa, membantah rayuan itu dan memohon hukuman berat kerana kesalahan tertuduh menganiaya dan menzalimi haiwan yang tidak mampu melawan. – K! ONLINE










