SUNGAI BULOH – Mayat dua individu tanpa identiti ditemui berhampiran sungai di kawasan kelapa sawit di simpang 4 Bandar Desa Coalfield, Sungai Buloh hari ini.
Selain itu, satu plastik yang dipercayai mengandungi kepala, tangan dan kaki yang turut ditemui di lokasi kejadian oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan pada pukul 2.30 petang.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, hasil pemeriksaan polis mendapati mayat seorang lelaki dan wanita yang ditemui di lokasi kejadian.
“Mayat itu ditemui dalam keadaan tidak sempurna dan dipercayai sudah meninggal dunia lebih dua minggu. Selain itu, pihak polis turut menemui tangan dan kaki secara berasingan di lokasi yang sama.
“Hasil siasatan awal, kita percaya mangsa dibunuh di tempat lain. Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – K! ONLINE
Video oleh HAIKAL RAMAN










