KUALA LUMPUR 23 Jan. – Lebih 500 penduduk terutamanya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Taman Melati, Wangsa Maju di sini menerima agihan kira-kira lima tan pelbagai jenis bahan makanan basah melalui Program Agihan Sayur-sayuran KL Food Bank.
Pengerusi Gerakan Perpaduan Wilayah Persekutuan, Muhammad Helmi Azhar memberitahu, makanan basah seperti ikan dan sayur-sayuran itu merupakan sumbangan daripada pemborong-pemborong Pasar Borong Selayang untuk diagih kepada golongan yang tidak berkemampuan.
“Setiap minggu pihak kami berjaya mengumpul kira-kira 10 tan sayur-sayuran. Ia bukan lebihan barang niaga semata-mata, tetapi ada yang telah diasingkan oleh pemborong sejak dari awal untuk tujuan sumbangan.
“Kami tidak akan memberi sayur- sayuran yang rosak, semuanya berkualiti dan masih segar. Diharapkan selepas ini lebih ramai pengusaha makanan dan pemborong yang tampil untuk menyokong program sebegini,” katanya selepas merasmikan program berkenaan di Pusat Komuniti Gombak, semalam. – UTUSAN ONLINE










