KUALA LUMPUR 24 Jan. – Lapan sultan dan raja hari ini berangkat ke Istana Negara bagi menghadiri mesyuarat khas Majlis Raja-Raja bagi membincangkan pemilihan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah merupakan sultan pertama yang berangkat tiba disusuli Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah.
Pada pukul 10.14 pagi, pekarangan Istana yang dilimpahi pelancong asing dan pengamal media tempatan menyaksikan keberangkatan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah; Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.
Kesemua baginda selamat berangkat pada pukul 10.30 pagi yang diakhiri dengan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Bagaimanapun, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V tidak kelihatan semasa keberangkatan tiba di sini hari ini.
Tatacara pemilihan YDPA hari ini dibuat secara undi sulit dan kertas undi yang digunakan tidak bernombor serta ditandakan dengan pen dan dakwat yang sama.
Kemudiannya dimasukkan ke dalam peti undi dan kertas undi dimusnahkan di hadapan Raja-raja sebaik sahaja keputusan undian diumumkan.
Pada mulanya, Sultan Johor atau Sultan Perak dikatakan bakal dipilih memandangkan Sultan Pahang gering.
Namun, apabila Sultan Ahmad Shah menyerahkan takhta kepada anakanda baginda sebagai Sultan Pahang, maka raja dari negeri itu dijangka dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16. – UTUSAN ONLINE










