KUALA TERENGGANU 14 Jan. – Sebuah restoran mamak di bandaraya ini yang sering menjadi tumpuan ramai, hari ini diserbu anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dah Hal Ehwal Pengguna (HPDNHEP) setelah disyakki mengelirukan orang ramai dengan menyalahgunakan logo halal.
Hasil siasatan KPDNHEP Terengganu mendapati logo itu ditemukan tertampal di peti sejuk yang terletak di bahagian dapur premis tersebut sedangkan premis berkenaan dipercayai tidak pernah memiliki sjil pengesahan halal.
Ketua Penguat kuasa KPDNHEP Terengganu, Zulfamy Mat Udi berkata, dalam operasi itu, peti sejuk berkenaan didapati digunakan untuk menyimpan bahan mentah sebelum dimasak di restoran nasi kandar yang beroperasi sejak 10 tahun lalu itu.
“Hasil pemeriksaan kita dapati pengusaha restoran mamak ini tidak pernah memohon mendapatkan sijil pengesahan halal daripada pihak berkuasa. Tindakan mempamerkan logo halal seumpama itu dibimbangi akan mengelirukan orang ramai khususnya kalangan pelanggan yang beragama Islam,” katanya.
Zulfamy menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas mengetuai operasi bersepadu melibatkan KPDNHEP, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Jabatan Kesihatan Negeri dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di restoran itu, di sini hari ini.
Tegasnya, penggunaan logo halal tidak sah dan representasi palsu yang didakwa dilakukan oleh pengurusan restoran mamak itu akan disiasat mengikut Perenggan 4 (1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta bagi syarikat, jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE










