TEMERLOH 25 Jan. – Pertama kali bertemu rakyat selepas diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16, gerak-geri dan pendekatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah semasa berhadapan dengan mereka hari ini masih sama.
Walaupun bergelar ketua negara berkuat kuasa 31 Januari ini, sifat ramah mesra yang berteraskan prinsip ‘raja dan rakyat berpisah tiada’ terus subur dalam diri baginda.
Bertempat di Masjid Baru Temerloh di sini, Sultan Abdullah menyantuni rakyat dengan penuh mesra dan sopan, suatu nilai yang diwarisi daripada ayahanda baginda, Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah.
Sultan Pahang keenam itu yang mengenakan baju Melayu warna biru muda, bersamping dan bersongkok tiba di pekarangan masjid berkenaan pada pukul 1.10 petang untuk menunaikan solat Jumaat disusuli solat hajat, tahlil, doa selamat serta majlis jamuan kesyukuran sempena memuliakan baginda.
Orang ramai yang berada di masjid seawal pukul 12 tengah hari tidak melepaskan peluang bersalaman dengan raja pemerintah kesayangan rakyat itu.
Seperti biasa, Sultan Abdullah tanpa terlalu mengikut protokol kelihatan senang melayan dan bertegur sapa dengan mereka yang beratur panjang di sepanjang laluan menuju ke dalam masjid sebelum baginda solat sunat dan mengikuti khutbah dibacakan oleh Kadi daerah, Abdul Aziz Abdul Karim bertajuk Wujudkan Perpaduan Jauhi Perpecahan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Pahang.
Selepas menunaikan solat Jumaat diikuti solat hajat, tahlil dan doa selamat, baginda sekali lagi bersalaman dengan jemaah di sepanjang laluan menuju ke tempat santapan di pekarangan masjid dan ditemani Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Sultan Abdullah kemudian berkenan bergerak dari meja ke meja untuk mengurniakan sumbangan kepada golongan memerlukan bantuan dan tidak keberatan melayan permintaan rakyat yang mahu berswafoto dengannya.
Ketika berada dalam kenderaan untuk berangkat pulang, baginda menurunkan cermin kereta dan melambaikan tangan kepada orang ramai dan berkata: “Jumpa lagi, insya -Allah.” – UTUSAN ONLINE










