[VIDEO] Curi 332 besi penutup longkang, sepuluh termasuk dua suspek utama ditahan - Utusan Malaysia

[VIDEO] Curi 332 besi penutup longkang, sepuluh termasuk dua suspek utama ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Jan. – Polis menumpaskan Geng Along Besi dengan menahan dua lelaki yang terlibat dalam kegiatan mencuri besi penutup longkang di sekitar Putrajaya, minggu lalu.

Serbuan dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Putrajaya dan Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur susulan daripada sembilan laporan yang dibuat pada 6 hingga 17 Januari lalu

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, hasil siasatan awal mendapati dua lelaki berusia 32 dan 37 tahun tersebut bergiat aktif mencuri sebanyak 332 besi penutup longkang di Presint 8, Presint 11, Taman Putra Perdana di Presint 1.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, serbuan pertama dibuat pada pukul 11.30 malam di Taman Prima Kajang dekat sini dan menahan seorang lelaki berusia 37 tahun, berasal dari Kelantan pada 17 Januari lalu.

“Kita turut menemukan sebuah kereta Proton Wira milik ibu lelaki itu yang digunakan dalam kegiatan tersebut dan pemeriksaan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes dadah.

“Pada 19 Januari lalu, kita menahan rakan suspek iaitu lelaki berusia 32 tahun di Taman Bukit Mewah Ampang, kira-kira pukul 1.40 pagi,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut Mazlan, susulan itu, dua premis barangan lusuh yang disyaki membeli besi penutup longkang dicuri suspek turut diserbu di Sungai Chua, Kajang dekat sini dan lapan individu ditahan bagi membantu siasatan.

Tambah beliau, pihaknya turut merampas sebanyak 80 keping penutup besi longkang, dua buah kereta Proton Wira serta Perodua Alza, dokumen jual beli besi, sebotol air ketum dan dadah jenis syabu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri harta awam, Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1956/63, Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 13 (1) ADB 1952,” ujarnya.

Minggu lalu, sebuah video rakaman litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan seorang lelaki menaiki kenderaan berbeza iaitu Perodua Alza dan Proton Wira mencuri besi penutup longkang di beberapa kediaman di sekitar Putrajaya telah tular di aplikasi WhatsApp dan Facebook.

Dalam video tersebut, lelaki itu dilihat meletakkan kenderaannya berdekatan dengan besi penutup longkang sebelum mengangkat besi terbabit dan diletakkan di bahagian belakang pemandu serta bonet kenderaannya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×