JOHOR BAHRU 1 Jan. – Biarpun mengalami masalah penglihatan, murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth di sini teruja untuk memulakan hari pertama sesi persekolahan tahun ini.
Mereka hadir ke sekolah dengan muka yang ceria dan penuh bersemangat tanpa sebarang tangisan atau ‘drama’ hari pertama sekolah.
Tidak perlu bertanya tentang bagaimana perasaannya untuk ke sekolah, senyuman Nur Hanisah Mohd. Haris, 7, yang mengalami masalah katarak sejak lahir sudah cukup menggambarkan kegembiraan kanak-kanak itu.
“Seronok ke sekolah, ramai kawan, suka,” kata anak bongsu daripada empat beradik dari Masjid Tanah, Melaka di sini sebentar tadi.
SK Pendidikan Khas Princess Elizabeth yang turut menyediakan asrama mempunyai 51 murid (26 murid buta dan 25 rabun) terdiri daripada pra sekolah sehingga darjah enam dengan kekuatan 31 guru, mempunyai maksimum enam murid setiap kelas.
Nur Hanisah yang mempunyai dua abang yang belajar di sekolah sama masing-masing di kelas tingkatan satu dan darjah lima sedang sibuk menggunakan braille semasa ditemui pemberita di kelas 1 Amanah.
Sementara itu, rakan sekelas yang juga merupakan sepupunya, Muhammad Ilman Hafiy Mohd. Noor Hafizan, 7, dari Brickfields, Kuala Lumpur turut berkongsi kegembiraan sama.
“Suka dapat satu kelas dengan Hanisah dan jumpa rakan lain baru,” kata anak sulung daripada dua beradik yang mempunyai masalah glaukoma.- UTUSAN ONLINE










