CAMERON HIGHLANDS – Semua 29 buah pusat mengundi sempena Pilihan Raya (PRK) Cameron Highlands dibuka tepat pada pukul 8 pagi bagi membolehkan 31,749 penduduk keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Daripada jumlah itu, sebanyak 17 buah pusat mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata manakala 12 lagi pusat mengundi di DUN Jelai.
Tinjauan di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Raja di sini mendapati orang ramai telah mula hadir seawal pukul 7.30 pagi meskipun dalam keadaan cuaca sejuk dan dingin sekitar 14 darjah Celcius.
PRK Cameron Highlands menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd. Nor dan calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran serta dua calon Bebas iaitu bekas pensyarah, Sallehuddin Ab. Talib dan peladang tempatan, Wong Seng Yee.
Keputusan PRK kerusi itu dijangka diumumkan seawal jam 10 malam ini sama ada kerusi Parlimen itu kekal di tangan BN atau berjaya dirampas PH dan calon Bebas. – K! ONLINE










