KUALA LUMPUR 1 Jan. – Sebanyak 81,351 kesalahan dilakukan pengguna jalan raya manakala 333 kenderaan disita di ibu negara sepanjang tahun ini.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Ismail Mohd. Zawawi berkata, kesalahan yang terbanyak direkodkan dilakukan pengguna jalan raya adalah berhubung lesen memandu sebanyak 25,070 kes dengan diikuti kesalahan berhubung cukai jalan iaitu sebanyak 21,663 kes.
“Kebanyakan pesalah ini tidak menyedari sekiranya mereka ditimpa kemalangan, tiada sebarang pampasan boleh dituntut mereka dan ahli keluarga mereka, sebab itu mereka ambil mudah.
“Mereka ini membahayakan bukan sahaja diri sendiri, malah pengguna jalan raya lain yang mematuhi undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar ketika Operasi Bersepadu Ambang Tahun Baharu di Stesen LRT Bangsar, di sini malam tadi.

Menurut Ismail, operasi tersebut disertai empat agensi penguatkuasaan yang terdiri daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya.
Ujarnya, dalam operasi tersebut sebanyak 203 notis dikeluarkan manakala enam kenderaan disita selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada cukai jalan selama lebih dua tahun.
“Terdapat juga satu kes yang kita dapati nombor pendaftaran kenderaannya tidak sama dengan cukai jalan.
“Kesalahan ini boleh didakwa di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang tidak boleh dikompaun kerana mengemukakan dokumen palsu, kes akan terus dibicarakan di mahkamah,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE










