Utusan menjuarai ‘Takrif Melayu’ - Utusan Malaysia

Utusan menjuarai ‘Takrif Melayu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK kelahiran Utusan Melayu di bawah pimpinan Yusof Ishak, Pengarangnya, Abdul Rahim Kajai, bersama Ishak Haji Mohamad (Pak Sako) dan Pembantu Pengarang, Ramli Haji Tahir, akhbar keramat ini sinonim dengan perjuangan mengenai ‘Takrif Melayu’.

‘Takrif Melayu’ yang dicanangkan oleh Utusan Melayu era itu bukanlah bertujuan menghasut orang Melayu membenci keturunan Arab atau India Muslim sebaliknya merupakan gerakan orang Melayu menuntut keadilan sosial dan ekonomi, menggugah masyarakat Islam umumnya agar prihatin terhadapa cita-cita bangsa Melayu untuk ba­ngun dan maju bersama-sama kaum lain.

Akhbar Utusan Melayu dan Utusan Zaman menjadi medan perbincangan hebat soal ‘Takrif Melayu’ era itu yang berkisar mengenai Jawi Pe­ranakan atau Darah Keturunan Keling (DKK) dan Darah Keturunan Arab (DKA) terutama pada tahun 1940-an kerana menentang soal hak dan diskriminasi sosial di Si- ngapura.

Menurut A. Samad Ismail dalam bukunya, Memoir A. Samad Ismail di Singapura (1993) terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), beliau me­ngakui Abdul Rahim Kajai me­nulis rencana dalam ruangan pojoknya Wak Ketuk bertujuan menyindir golongan DKK dan DKA.

“Perjuangan Takrif Melayu sebenarnya adalah pernya­taan kebangkitan bangsa Melayu untuk mencari identiti sendiri.Untuk menegakkan hak persamaan dengan kaum-kaum lain, satu pergerakan massa untuk mengangkat bangsa Melayu dalam bidang sosial dan ekonomi” (A. Samad Ismail 1993:115). Menurut A. Samad Ismail lagi, penubuhan Utusan Melayu sebagai sebuah syarikat akhbar dianggap sebagai pernyataan bangsa Me­layu untuk mencapai tahap ekonomi yang sejajar de­ngan kaum lain, untuk memperlihatkan kemampuan dan kebolehan bangsa Me­layu bergiat dalam bidang perniagaan dan hakikat bahawa nasib bangsa itu hanya dapat ditebus oleh bangsa itu sendiri. Bagi Abdul Rahim Kajai soal memperjuangkan Takrif Me­layu merupakan satu sumpah dan satu cita-cita yang murni lagi suci.

Takrif Melayu Tanah-tanah Kawasan Melayu

Rencana Abdul Rahim Kajai bertajuk: Takrif Melayu-Ta­nah-tanah Melayu yang diterbitkan oleh Utusan Melayu pada 4 Disember 1940, muka surat 10 yang menyentuh mengenai kawasan tanah rizab Melayu yang ada di negeri-negeri Melayu yang bersekutu dan yang tidak bersekutu.

“Bagi negeri-ne­geri yang bersekutu tanah rizab Melayu telah diwujudkan pada 1908 kerana memelihara bangsa Melayu supaya kekal berkampung ber­halaman oleh sebab menilik kepada kemaraan dan kemajuan orang asing begitu deras,” ulas Abdul Rahim Kajai.

“Tiada dibenarkan tanah-tanah kawasan Melayu itu digadaikan, disewakan, diwakilkan apa lagi dijual atau diperniagakan kepada orang-orang yang lain daripada bangsa Melayu sehingga kuasa Jabatan Official Asta Site tiada lah mencapai kepada tanah kawasan Melayu jikalau pun tuan tanah itu jatuh bangkrap,” terang Abdul Rahim Kajai.

Masuk Bangsa Melayu

Mengenai Takrif Melayu selanjutnya Abdul Rahim Kajai menerangkan beliau bersetuju Takrif Me­layu yang digubal pada tahun 1935 seperti berikut:

“Jika bangsa asing berkahwin dengan perempuan Melayu dapat anak dan anak itu berkahwin pula dengan seorang Bangsa Melayu dapat anak, maka anaknya itu baharulah disahkan masuk Bangsa Melayu.

“Demikianlah bunyinya takrif raja dan takrif kerajaan ertinya Takrif Melayu kawasan Melayu itu sebenar-benarnya telah menerima perubahan bukannya seperti kata orang-orang yang mengiktiraf kita itu kononnya raja-raja dengan kerajaan mengiktiraf takrif peranakan-peranakan Islam apa lagi jikalau salah satu daripada ibu atau bapanya Me­layu”.

Sebenarnya, Takrif Melayu yang diperjuangkan Utusan Melayu itu bagi memastikan hak-hak bangsa Melayu terpelihara di bumi sendiri. Bagaimanapun sentimen ‘Takrif Melayu’ yang diperjuangkan Abdul Rahim Kajai itu terhenti apabila British memperkenalkan Gagasan Malayan Union pada tahun 1945 bagi memperku­kuhkan semula kedudukan legasinya di Tanah Me­layu.

Sumber: Pusat Maklumat Utusan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN