NILAI 4 Jan. – Kumpulan akademik dari Program Komunikasi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan membantu Majlis Dakwah Negara (MDN) meningkatkan kefahaman umat Islam mengenai krisis yang dihadapi oleh umat Islam di dalam dan luar negara melalui penulisan di media.
Pengerusi MDN, Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid berkata menyebarkan fakta yang benar di media adalah perlu untuk meningkatkan pemahaman dan bacaan dalam kalangan masyarakat.
“Apa yang lebih penting ialah mengenal pasti golongan yang mencetuskan konflik dan krisis dalam kalangan umat Islam, melalui kes-kes yang viral di media.
“Dengan adanya pengaruh media ini secara tidak langsung akan dapat meningkatkan fungsi MDN dan umat Islam dapat merasakan kewujudan MDN untuk mereka mendapatkan maklumat berkaitan isu umat Islam,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata MDN mengambil inisiatif mengadakan persidangan meja bulat baru-baru ini bagi membincangkan krisis umat Islam dalam dan luar negara berikutan ada pihak yang mempersoalkan MDN tidak memberi sebarang komen terhadap isu-isu yang berlaku berkaitan umat Islam sejak akhir-akhir ini.
Selain itu, katanya Prof Madya Dr Mohd Irwan Subri dari USIM mencadangkan supaya semua pertubuhan Islam dan NGO di dalam dan luar negara dikumpulkan dan menjadi wakil untuk bercakap di peringkat antarabangsa bagi menangani krisis umat Islam di dunia,
“Kita perlu menyenaraikan isu-isu berkaitan umat Islam di seluruh Asia dan melihat pendirian negara masing-masing terutama Malaysia untuk mendapatkan maklumat yang kolektif agar lebih cepat memberi maklum balas terhadap isu berkaitan orang Islam dan gerakan Islam di luar untuk mengubah persepsi negatif terhadap umat Islam,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden/Timbalan Naib Canselor INTI-UC Laureate International Universities Prof Datuk Dr Ibrahim Ahmad Bajunid berkata antara pendekatan paling asas dalam menyelesaikan krisis dalam kalangan umat Islam ialah setiap individu kembali kepada falsafah Islam yang sebenar yang merangkumi dalam kehidupan seharian termasuk dalam hal ehwal berorganisasi.
Turut terlibat dalam persidangan itu ialah Kumpulan Cendekiawan Ulung yang terdiri daripada para profesor kanan universiti awam, Kumpulan Perancangan Strategik dan Kumpulan Media dan Publisiti yang terdiri daripada para pensyarah Program Komunikasi dan Media Baharu USIM.
MDN, yang ditubuhkan pada Oktober 2013, merupakan badan khas yang bernaung di bawah Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).- BERNAMA










