Unit khas tangani isu rumah ibadat diperluas - Utusan Malaysia

Unit khas tangani isu rumah ibadat diperluas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI 6 JAN. – Unit tindakan khas yang ditubuhkan di peringkat Pakatan Harapan Parlimen Iskandar Puteri bagi menangani isu berkaitan rumah ibadat yang dibina tanpa prosedur, dicadang untuk diperluaskan ke peringkat negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dzulkefly Ahmad yang juga Pengerusi unit tersebut berkata, beliau akan membawa perkara itu ke dalam Mesyu­arat Majlis Kerajaan Nege­ri akan datang.

Menurutnya yang juga Ah­li Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, menerusi unit khas yang diwujudkan di peringkat Parlimen itu, pihak­nya sudah mengenal pasti lebih 10 rumah ibadat yang dibina tanpa prosedur.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Khusus di peringkat Parlimen Iskandar Puteri, kita ada pasukan khas bagi menangani isu itu secara bersepadu, kita tahu perkara berkenaan merupakan satu isu sensitif dalam kalangan parti komponen Pakatan Harapan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas berhubung isu kuil yang dibina di tengah blok rumah pangsa Taman Ungku Tun Aminah yang menjadi tular dalam laman sosial sejak kelmarin.

Dzulkefly berkata, antara usaha yang diambil unit ter­sebut dalam menangani isu berkaitan adalah dengan mengikut prosedur operasi standard kerajaan negeri dan setiap permohonan perlu dirujuk kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ini kerana tambahnya, pembinaan rumah ibadat tidak se­perti pembangunan lain yang mendapat kebenaran merancang daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Tetapi bagi rumah ibadat perlu permohonan MKN sebelum diberi kebenaran dan antara perkara yang diambil kira se­perti agama, kaum dan penduduk supaya kewujudannya tidak menimbulkan suasana tidak sihat dan tidak selesa kepada kaum lain,” katanya.

Beliau juga percaya keba­nyakan pengusaha rumah ibadat mengetahui prosedur tersebut, namun ada yang mengambil kesempatan dengan cara membina dahulu dan menjadikannya satu sandaran sebagai mendesak pihak terlibat memberi kelulusan.

Tegasnya, antara peranan unit tindakan khas tersebut adalah memberi perhatian kepada perkara seumpama itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini