Undi Melayu PRK Semenyih akan pecah - PM - Utusan Malaysia

Undi Melayu PRK Semenyih akan pecah – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Jan. – Undi orang Melayu dijangka berpecah dalam PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih kerana terdapat dua parti yang membawa agenda yang sama.

Jelas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, walau bagaimanapun beliau yakin kemenangan akan memihak kepada Pakatan Harapan (PH).

“Saya rasa sokongan orang Melayu di Semenyih masih kuat tapi kena ingat terdapat dua parti melawan jadi Melayu pun boleh berpecah.

“Sudah tentu ia akan memberi kesan terhadap satu parti tapi yakin dengan penilaian bahawa kami mempunyai peluang untuk menang,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Yayasan Selangor, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Dr. Mahathir yang juga Pengerusi PH berkata, pihaknya mengambil perhatian yang serius selepas gabungan tersebut tewas kepada Barisan Nasional (BN) dalam PRK Parlimen Cameron Highlands yang lalu.

Kata beliau, atas sebab itu PH akan melipat gandakan usaha untuk menghadapi PRK DUN Semenyih, 2 Mac depan.

“Kita memberi perhatian kepada analisa mengenai PRK Cameron Highlands dan sedang berusaha dengan persiapan untuk menghadapi PRK DUN Semenyih,” katanya.

Jelas Dr. Mahathir, calon yang akan diketengahkan mewakili PH dalam pilihan raya tersebut harus menepati beberapa kriteria seperti yang dipersetujui.

“Calon mesti seorang yang ‘fit’, bijak, simpati terhadap masyarakat. Kita akan letak calon yang terbaik,” katanya.

PRK DUN Semenyih pada 2 Mac depan, penamaan calon pula ditetapkan pada 16 Februari manakala tarikh mengundi awal pada 26 Februari. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN