KUALA LUMPUR 26 Jan. – Kementerian Industri Utama menegaskan tuduhan yang dilemparkan gerakan anti-sawit dari luar negara yang industri sawit di Malaysia menyebabkan kepupusan orang utan adalah tidak benar.

Menterinya, Teresa Kok berkata, tuduhan tersebut adalah persepsi yang sengaja direka bagi menghasut masyarakat dunia agar tidak lagi membeli minyak sawit dalam kehidupan seharian mereka.
“Ada tuduhan daripada gerakan anti-sawit di media sosial yang sebanyak 25 orang utan mati setiap hari akibat hutan yang diteroka untuk penanaman sawit dan hal ini tidak benar sama sekali.
“Pihak kementerian telah mengambil langkah untuk memperhebatkan lagi kempen ‘Sayangi Minyak Sawitku’ bagi memerangi kempen anti-sawit yang mengancam kedudukan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Chin Hin Property Development di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Pengarah Urusan Kumpulan Chin Hin Property Development, Chiau Haw Choon.-UTUSAN ONLINE











