YANG Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir telah mempamerkan kepimpinan unggul sebagai pemerintah yang sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai agenda utama baginda.
Dalam setiap ucapan pada majlis atau persidangan kerajaan yang dihadiri baginda, kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa dibangkitkan oleh baginda yang sentiasa mengambil berat segenap lapisan masyarakat di negeri ini.
Semasa merasmikan Persidangan Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14

pada September tahun lalu, Tuanku Muhriz bertitah, bantuan yang diberi kepada rakyat miskin dan memerlukan telah meringankan beban mereka dalam menjalani kehidupan seharian.
Titah baginda, kerajaan telah menyediakan peruntukan dengan matlamat supaya kekayaan negeri ini dikongsi dan diagihkan seadil-adilnya kepada rakyat melalui Dasar Jaringan Keselamatan Sosial.
“Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM1.13 bilion bagi tempoh 2008 hingga 2017 yang melibatkan seramai 1.27 juta penerima. Beta percaya dengan jumlah perbelanjaan tersebut, rakyat telah mendapat manfaat hasil kekayaan negeri ini.
“Beta mahu supaya kejayaan melaksanakan program dan projek yang telah dirangka melalui dasar Jaringan Keselamatan Sosial ini diteruskan dan diperluaskan skop pelaksanaannya. Dasar ini telah memberikan kebaikan dalam usaha meningkatkan kebajikan kepada rakyat,” titah baginda.
Titah Tuanku Muhriz itu membuktikan bahawa kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa mendapat utama di hati baginda sebagai pemerintah berjiwa rakyat.
Diputerakan pada 14 Januari 1948, Tuanku Muhriz adalah satu-satunya putera daripada enam adik-beradik kepada pasangan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Ke-9, Tuanku Munawir Tuanku Abdul Rahman dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Ampuan Durah Tunku Besar Burhanuddin.
Pada tahun 1960, baginda telah dilantik sebagai Tunku Laxamana dan ditabalkan sebagai Tunku Besar Seri Menanti pada 1961 hingga dimahsyurkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 berikutan kemangkatan Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman pada 27 Disember 2008.
Tuanku Muhriz telah dimasyhurkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan oleh Undang Yang Empat di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah pada 29 Disember 2008.
Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Tuanku Muhammad, Kuala Pilah dan Sekolah Tunku Besar Tampin sebelum ke Sekolah King George V, Seremban.
Tuanku Muhriz memperoleh sijil O-Levels dan A-Levels ketika melanjutkan pengajian di Aldenham School, Elstree, England.
Baginda kemudian menyambung pengajian dalam bidang Perundangan di University of Wales, Aberystwyth, Wales dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) pada tahun 1970.
Semoga bertambah daulat Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk terus memayungi kerajaan dan rakyat negeri ini.










