Tuah kaki pancing 
raih RM13,000 - Utusan Malaysia

Tuah kaki pancing 
raih RM13,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUAH ayam nampak di kaki, tuah orang tiada siapa yang tahu. Begitulah rezeki diraih oleh seorang pemancing yang menyapu bersih tempat pertama dan kedua pertandingan memancing yang diadakan di Taman Tasik Ampang Hilir, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mohamad Khairul Md. Hashim membawa pulang wang tunai keseluruhan berjumlah RM13,000 selain barangan iringan Oyoshi dan Igloo.

Hadiah pertama menawarkan wang tunai RM10,000 manakala hadiah kedua bernilai RM3,000 menjadi miliknya dalam program Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) siri akhir 2018.

Dalam pertandingan itu dia berjaya menaikkan spesies patin seberat 12.545 kilogram pada pukul 11.53 pagi dan 11.775 kilogram pada pukul 12.58 tengah hari sekali gus menewaskan kira-kira 1,000 peserta yang lain.

Mohamad Khairul berkata, dia akan menggunakan wang kemenangan itu untuk keperluan keluarga.

“Kemenangan ini amat bermakna. Saya sangat bersyukur. Ini hadiah buat isteri yang sedang mengandung dan tiga anak kami selain hadiah tahun baharu buat kami sekeluarga.

“Saya harap JPKL dapat diteruskan tahun depan kerana inilah waktu terbaik bagi kaki pancing berkumpul bersama keluarga. Program ini juga mampu merapatkan silaturahim sesama kaki pancing,” katanya.

Tempat ketiga dimenangi peserta wanita dikenali Nurul Ruhaya selepas mendaratkan patin seberat 9.495 kilogram pada pukul 12.59 tengah hari. Dengan kemenangan itu dia membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 serta barangan iringan Oyoshi dan Igloo.

Hadiah disampaikan oleh Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Mohd. Nazam Harun.

Pertandingan anjuran DBKL itu bagaikan pesta ikan patin apabila lebih 30 ekor spesies itu dengan berat antara empat hingga 12 kilogram selain lebih 400 ekor pelbagai spesies berjaya dinaikkan kaki pancing.

Pertandingan kali ini bermula pukul 8.15 pagi dan berakhir pada pukul 1 tengah hari. Jenama barangan Oyoshi dan Igloo turut memeriahkan acara ini sebagai rakan strategik.

Mohd. Nazam berbangga dengan penyertaan dari seluruh negara selain kehadiran ahli keluarga peserta yang memeriahkan kawasan persekitaran Taman Tasik Ampang Hilir.

“JPKL dilihat berjaya mencapai matlamat menjadikan pertandingan ini sebagai aktiviti riadah yang sihat bagi warga kota,” katanya.

Beliau berkata, siri JPKL 2019 akan bermula tahun ini dengan menawarkan hadiah yang lebih lumayan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×