Tuah jaringan Mabkhout - Utusan Malaysia

Tuah jaringan Mabkhout

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ABU DHABI 26 Jan. – Jurulatih Emiriah Arab Bersatu (UAE), Alberto Zaccheroni berkata, penjaring Ali Mabkhout berada pada prestasi terbaik setelah pemain itu membantu pasukannya menumbangkan juara bertahan, Australia 1-0 dalam suku akhir Piala Asia, hari ini.

UAE menunjukkan Socceroos jalan keluar pada minit ke-68 selepas kesilapan pertahanan Milos Degenek yang menghantar bola ke belakang, sebelum penyerang veteran itu bertindak pantas merampasnya sebelum meledakkan gol tunggal perlawanan.

Tiada kebangkitan yang dapat dihasilkan oleh Australia, yang dikendalikan Graham Arnold di Stadium Hazza Bin Zayed biarpun melakukan 22 percubaan, namun, nasib tidak menyebelahi mereka.

Jaringan Ali itu sudah cukup membawa tuan rumah melangkah ke separuh akhir buat kali ketiga dalam sejarah penyertaan negara itu pada kejohanan tersebut.

“Semua orang setuju Ali adalah seorang penyerang berkali­ber dan pemain ternama. Persembahannya malam ini (awal pagi waktu Malaysia) cukup bagus.

“Kami mempamerkan per­sem­bahan secara kolektif dan golnya sangat kritikal. Dia telah mengubah seluruh suasana perlawanan,” katanya.

Sementara itu, kapten Korea Selatan, Son Heung-min me­ngakui dia mengalami keletihan yang melampau selepas 12 hari mengharungi kejohanan peringkat benua itu.

“Saya benar-benar tidak bersedia. Secara fizikal saya sa­ngat letih dan kurang bermaya. Keadaan fizikal saya tidak bagus. Saya tidak dapat tidur. Saya sepatutnya menjaga diri saya dengan lebih baik,” kata Heung Min kepada wartawan Korea Selatan sejurus pasukannya tewas 0-1 kepada Qatar.

Korea Selatan merupakan naib juara Piala Asia 2015, setelah tumpas kepada tuan rumah, Australia 1-2. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN