TPM akui peluang PH sukar - Utusan Malaysia

TPM akui peluang PH sukar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 13 Jan.– Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail me­ngakui peluang Pakatan Harapan (PH) untuk merampas kerusi Parlimen Cameron Highlands adalah sukar memandangkan Barisan Nasional (BN) memainkan sentimen isu tempatan.

Sambil menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Ca­meron Highlands sebagai se­ngit, malah Timbalan Perdana Menteri menjelaskan pihak parti lawan iaitu BN telah meletakkan Orang Asli sebagai calon.

“Kita sentiasa berhadapan ke­sukaran sebelum menjadi ke­rajaan. Sekarang ia (PRK) menjadi lebih sukar apabila mereka (BN) menggunakan sentimen tempatan.

“Memang dalam mana-mana pilihan raya, mesti ada persai­ngan sengit, dan ini merupakan sebahagian situasi yang perlu dilalui setiap calon. Apa kita (PH) tawarkan, sekurang-kurangnya rakyat akan mengundi kita, ia adalah cukup baik,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Malaysia Positif 2019 di sini hari ini.

Pada masa sama, berhubung isu Senator Dewan Negara, Bob Manolan Mohamad yang didakwa mengeluarkan berbaur ugutan kepada Tok Batin, Dr. Wan Azizah merangkap Pengerusi Jemaah Penasihat PKR berkata, Bob Manolan telah memberi penjelasan kepadanya bahawa ucapan beliau tidak bermaksud seperti mana ditularkan tersebut.

“Saya pun dah tanya dia dan dia kata tidak bermaksud begitu. Tetapi kita sememangnya tidak setuju beri ugutan dan minta setiap pemimpin parti agar berhati-hati dengan setiap ucapan kepada orang ramai,” katanya.

Tambah beliau, perkara itu diserahkan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil sebarang tindakan terhadap Bob Manolan yang merupakan ahli PKR.

Mengulas lanjut mengenai gambar seorang wanita memakai baju PH mengagih wang dalam PKR Cameron Highlands, Dr. Wan Azizah yang juga Presiden PH meminta wartawan memeriksa kesahihan dakwaan tersebut terlebih dahulu.

“Betul ke? Awak boleh pakai baju dan bagi (wang) dan ambil gambar. Jadi awak kena pergi dan periksa lebih lanjut. Walau bagaimanapun, kita dah beritahu petugas agar tidak melakukan sebarang perbuatan melanggar undang-undang pilihan raya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN