KUALA LUMPUR 8 Jan. – KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes menyindir pengendali Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) yang didakwa tidak menyelenggara bangunan dengan baik sehingga menjadi sarang kepada beberapa binatang berbahaya.
Tony berasa bimbang binatang-binatang berbahaya berkenaan membuat sarang di bangunan tersebut dan mengancam keselamatan para penumpang serta kakitangannya.
Beliau turut memuat naik sekeping gambar mengenai sekumpulan lebah yang membuat ‘sarang’ di satu sudut bangunan KLIA2 dalam akaun Twitter.
“Sekarang, kita ada lebah di KLIA2. Kita punyai ulat-ulat, tikus dan terkini lebah. Mungkin ini zoo atau madu KLIA2. Ia boleh menjadi pendapatan baharu bagi mengurangkan cukai lapangan terbang.
“Selain berlawak, hal ini berbahaya untuk para penumpang dan kakitangan saya. Adakah Ketua Pegawai Eksekutif baharu (MAHB) yang tidak berkomunikasi boleh menyelesaikan perkara ini,” katanya dalam akaun Twitter beliau hari ini.
Jumaat lalu, Kementerian Kewangan mengumumkan pelantikan Raja Azmi Raja Nazuddin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB bagi tempoh tiga tahun.
Disember lalu, MAHB, sebagai pengendali KLIA2, memberi jawapan balas dalam Twitter berhubung aduan penumpang yang menjumpai tikus di lapangan terbang itu.










