KUALA LUMPUR – Sebanyak 200 tiket konsert penyanyi Azharina iaitu Konsert Azharina Queen of Soul sudah ditempah sejak beberapa hari lalu meski pelancarannya baru diadakan petang tadi.
Azharina atau nama sebenarnya Azharina Azhar, 34, berkata, dia berasa bersyukur dengan sambutan awal tersebut dan yakin tiket akan habis dijual.
“Saya terkejut apabila dimaklumkan perkara ini oleh pihak penganjur. Memang tidak jangka sama sekali kerana tiket belum dijual secara rasmi, tetapi sudah ada yang buat tempahan.
“Kami ada tempoh lima bulan lagi sebelum berlangsungnya konsert. Insya-Allah, saya yakin tiket boleh habis. Lagi pula, ini konsert sulung saya berskala besar. Dari dulu lagi peminat bertanyakan mengenainya,” katanya kepada Kosmo! Online.
Konsert yang bakal berlangsung pada 29 Jun di Royale Theatre Shah Alam, Selangor tersebut diterbitkan sempena sambutan ulang tahun ke-18 pembabitan penyanyi lagu Elegi Sepi itu dalam bidang seni.
Azharina menambah, perancangan mengadakan konsert anjuran Atlas One Events Sdn. Bhd. itu sudah dibuat sejak Julai tahun lalu.
“Mahu mengadakan konsert bukan mudah. Banyak perkara perlu diambil kira, apatah lagi saya jenis yang teliti. Dalam masa sama, saya berfikir banyak kali adakah betul keputusan untuk mengadakan konsert ini.
“Bukan apa, dalam keadaan ekonomi sekarang saya bimbang tidak ramai yang mahu mengeluarkan belanja membeli tiket. Namun, selepas berbincang dengan pelbagai pihak, baru dapat tarikh yang sesuai.
“Apa yang pasti, saya cuba berikan yang terbaik untuk konsert ini. Saya tidak mahu mengecewakan peminat dan penonton yang hadir,” katanya.
Azharina yang bakal diiringi pemuzik orkestra dijangka menyanyikan 14 lagu solo dan satu lagu duet bersama penyanyi jemputan dari luar negara.
Konsert berkenaan turut mendapat sokongan Kelab SUK Selangor melalui Kelab SPBT selain bekerjasama dengan Kelab Sukan dan Kebudayaan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, FUFC The Fighters dan Pemadam Negeri Selangor.
Tiket mula dijual malam ini di www.atlasoneevents.com pada harga RM288 (VIP), RM188 (kategori A), RM158 (kategori B) dan RM108 (kategori C). – K! ONLINE










