KOTA KINABALU 24 Jan. – Tiga parah dan tiga lagi maut dalam kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori pembancuh simen di Kampung Paho, Kiulu pada kira-kira pukul 1 tengah hari ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba, lori berkenaan terbabas sebelum terbalik sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada semua mangsa yang terlibat.
“PGO menerima panggilan kecemasan pada jam 1.15 tengah hari sebelum menghantar anggota dan jentera ke lokasi kejadian.
“Apabila tiba di lokasi, empat mangsa yang cedera parah telah dibawa dengan ambulans ke Hospital Tuaran sementara dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.
Seorang mangsa yang kritikal itu kemudian disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Tuaran.
Identiti kesemua mangsa masih belum dapat dikenal pasti, katanya. – BERNAMA










