KUALA LUMPUR 17 Jan. – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melahirkan rasa hairan mengenai obsesi Penasihat DAP, Lim Kit Siang terhadap beliau.
Najib mendakwa, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu mengeluarkan kenyataan setiap hari untuk menyerangnya secara peribadi walaupun tidak lagi menjawat jawatan Perdana Menteri atau Presiden UMNO dan BN.
“Saya tidak faham obsesi Lim Kit Siang terhadap saya sehingga beliau terpaksa mengeluarkan kenyataan setiap hari untuk menyerang saya secara peribadi walaupun saya tidak lagi Perdana Menteri atau Presiden UMNO dan BN. #TakutApaBossku,” kata Najib dalam satu hantaran di Facebook beliau hari ini.
Dalam hantaran itu, Najib turut melontarkan pertanyaan kepada Kit Siang sama ada beliau tidak lagi berminat untuk mencari kebenaran berhubung kematian beberapa individu yang dikaitkan dengan dirinya.
“Kit Siang tidak mahu lagi mencari kebenaran mengenai kematian Altantuya, Teoh Beng Hock, Kevin Morais dan Hussain Najadi yang dia pernah sering mengaitkan dengan saya sebelum ini ke?
“Sudah lebih dari 3 bulan dahulu, pegawai saya telah membantu Kit Siang untuk mencari kebenaran dengan membuat laporan polis terhadap saya tentang kes-kes kematian tersebut. Kit Siang tidak berminat lagi ke? tanya Najib.-UTUSAN ONLINE









