ALOR SETAR – Tiada kejadian ribut mahupun bencana lain yang dilaporkan berlaku di negeri ini termasuk Langkawi susulan daripada tempias ribut tropika Pabuk yang diramalkan melanda negeri-negeri di utara Semenanjung bermula semalam hingga awal pagi ini.
Pegawai Bahagian Operasi dan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan tentang ribut atau kejadian luar biasa yang berlaku sepanjang tempoh ramalan tersebut.
“Pemantauan mendapati hanya berlaku hujan lebat selain keadaan laut bergelora di dua pantai yang menjadi tumpuan pelancong di Langkawi iaitu Pantai Chenang dan Pantai Tengah pada pagi semalam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Kata beliau, pihaknya bagaimanapun akan terus melakukan pemantauan di semua kawasan pesisiran pantai berikutan keadaan laut yang sedikit beralun meskipun cuaca cerah.
“Pelancong telah dibenarkan melakukan aktiviti air, namun anggota APM akan terus melakukan pemerhatian selain memberikan nasihat kepada orang ramai berhubung perkembangan cuaca dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Pegawai APM Langkawi, Leftenan (PA) Azamshah Aperal berkata, pihaknya buat masa ini menasihatkan pengusaha sukan air seperti jet ski, paragliding dan banana boat agar menangguhkan sementara operasi sebagai langkah berjaga-jaga.
“Bagi orang ramai yang mahu mandi-manda, kita benarkan di kawasan yang telah ditandakan selamat untuk berenang,” jelasnya.
Sementara itu, keadaan sama turut berlaku di Perlis apabila tiada sebarang kejadian ribut dilaporkan berlaku susulan pergerakan ribut tropika Pabuk tersebut.
Bilik Gerakan Bencana APM Perlis dalam kenyataan memaklumkan, cuaca pada sebelah pagi ini di Perlis agak cerah dan mendung di beberapa kawasan.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kedudukan ribut tropika Pabuk semakin menjauhi perairan negara dan tidak lagi memberi ancaman berikutan jarak ribut dari Langkawi adalah 345km manakala di Arau, Perlis adalah 362km. – K! ONLINE










