TFC menaruh harapan tinggi - Utusan Malaysia

TFC menaruh harapan tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS 27 Jan. – Terengganu FC (TFC) menaruh harapan tinggi untuk menjulang trofi Piala Malaysia bagi musim 2019 di samping mahu mara ke peringkat akhir Piala FA seiring pelancaran jersi baharu bagi pasukan berkenaan malam tadi. 

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkata,  skuad Penyu mengidam menempatkan diri dalam kelompok tiga pasukan terbaik bagi menghadapi  cabaran Liga Super dan Liga Perdana musim ini.

Katanya, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM25 juta bagi membiayai lima pasukan bola sepak negeri iaitu TFC I, TFC II, TFC III, TFC IV dan TFC V untuk musim ini sekali gus komitmen tinggi setiap daripada mereka ditagih bagi mencipta kejayaan lebih cemerlang berbanding musim lalu.

“Secara keseluruhannya kita mahukan yang terbaik untuk semua pasukan yang ada. 

“Ingin mencapai kejuaraan lebih mudah daripada mempertahankan kemenangan dan ini merupakan satu cabaran yang tidak mustahil untuk kita, jadi saya harap pemain, jurulatih dan pegawai tidak leka dengan apa jua kejayaan sepanjang 2018 dan 2019 ini kita perlu bekerja lebih keras lagi,” katanya. 

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan jersi baharu TFC di Stadium Tertutup Gong Badak di sini, serentak dengan pengenalan barisan pemain.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim.

Majlis dimeriahkan dengan kehadiran penyokong setia skuad Penyu  yang tidak mahu ketinggalan menyaksikan pelancaran jersi baharu pasukan kesayangan mereka di samping mengenali barisan pemain.

Jersi yang menampilkan warna simbolik iaitu putih sebagai jersi utama manakala warna hitam pula digunakan sebagai jersi di tempat lawan oleh kelima-lima pasukan.

Terengganu mencatat kejayaan membanggakan pada musim lalu apabila pasukan TFC I muncul naib juara Piala Malaysia, TFC ll pula mengungguli Piala Cabaran yang diperkenalkan untuk julung kalinya manakala TFClll menjuarai Piala Presiden. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×