DESAS-DESUS tentang tarikh perkahwinan pasangan pelakon Fasha Sandha dan Aidil Aziz akhirnya terjawab apabila mereka mengesahkan yang bakal disatukan pada 30 Mac ini.

PASANGAN ini sedang sibuk buat persiapan menjelang hari besar mereka.
Atas permintaan ibu aktres tersebut, majlis pernikahan itu akan diadakan di Perlis. Sementara majlis bersanding sebelah pihak pengantin lelaki pula diadakan di Rembau, Negeri Sembilan awal April.
Maknanya dalam tempoh dua bulan lagi, pasangan itu akan melangkah ke alam baharu. Mestilah macam-macam persiapan dibuat untuk memastikan majlis berlangsung dengan jayanya.
Kena senaraikan betul-betul keperluan majlis supaya tidak berlaku kecemasan pada saat-saat akhir. Tak mahulah ada kekurangan atau kecacatan yang boleh membuatkan jemputan terasa hati lantas berkata buruk di belakang.
Mana tahu ada pihak yang iri hati. Sebab itu dalam hal membabitkan perkahwinan artis popular Malaysia, macam-macam boleh berlaku.
Apapun dalam hal ini, memang tabik kepada Aidil kerana dia yang dilihat bersungguh-sungguh dalam urusan perkahwinan. Segala kelengkapan seperti baju menjelang hari besar itu sudah pun dibeli manakala Fasha belum lagi.
Dia tunggu penggambaran drama Patahnya Sayap Bertongkat ini selesai, baru boleh fokus.
Bakal pengantin perempuan, mestilah ada impian tertentu untuk majlis penyatuan jiwanya dengan yang tersayang.
Tak mengapa Fasha, kayuh perlahan-lahan. Masih ada masa lagi. Sambil menghafal skrip di set penggambaran itu, boleh saja curi masa memikirkan apa yang patut. Kita yakin Fasha cekap dalam bab-bab ini.










