LIPIS 15 Jan. – Terserah kepada tok-tok batin di negara ini untuk menerima atau tidak permohonan maaf yang dibuat oleh Ahli Dewan Negara, Senator Bob Manolan Mohamad, kata Pengerusi Batin-Batin Pahang, Norya Abas.
Menurutnya, kenyataan mengugut oleh Bob Manolan itu merupakan satu penghinaan yang tidak seharusnya berlaku terhadap Tok Batin dan diharap tidak akan berulang lagi pada masa akan datang.
“Bagi saya memohon maaf itu satu hal, terpulang kepada batin-batin hendak terima atau pun tidak dan kami mahu jaminan tiada lagi penghinaan kepada batin-batin.
“Jawatan mereka ini bukan jawatan parti politik kenapa kita hendak heret mereka dalam kancah politik pula,” katanya di sini hari ini.
Baru-baru ini, Bob Manolan dilaporkan memberi amaran kepada Tok Batin supaya menyokong calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands 26 Januari ini atau berdepan risiko kehilangan jawatan.
Beliau kemudiannya memohon maaf dan menyatakan beliau tidak berniat untuk menyinggung perasaan mereka jauh sekali untuk menimbulkan ugutan. – UTUSAN ONLINE










