KUALA LUMPUR 8 Jan. – Menteri Industri Utama, Teresa Kok memfailkan saman terhadap Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah atas dakwaan memfitnahnya mempunyai kaitan dengan insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Selangor, November lalu.
Saman tersebut difailkan Ahli Parlimen Seputeh itu melalui Tetuan S.N. Nair & Partners melalui sistem e-filing hari ini dengan menamakan Azwanddin atas kapasiti peribadi dan sebagai presiden JMM selaku pihak defendan pertama dan kedua.
Berdasarkan penyataan tuntutan, Teresa selaku plaintif mendakwa defendan ada mengeluarkan perkataan fitnah terhadapnya ketika berucap dalam perhimpunan di Dataran Seni, Klang, Selangor pada 25 Disember lalu.
Menurutnya, perkataan fitnah itu kemudian disiarkan di media massa serta portal berita Malaysiakini dan Free Malaysia Today dan defendan turut memuat naik video ucapan tersebut di laman sosial miliknya.
Ucapan dan kenyataan defenda itu, dakwa plaintif adalah bersifat fitnah secara lisan atau bertulis yang jika difahami membawa maksud beliau seorang yang bersikap perkauman, menyalahgunakan jawatan sebagai menteri dan mengamalkan rasuah.
Selain itu, plaintif turut mendakwa kenyataan fitnah berkenaan mengambarkan seolah-olah beliau tidak jujur, penipu, tidak boleh dipercayai, tidak beretika dan individu yang terbabit dengan pertuduhan jenayah.
Teresa menyatakan dakwaan yang dikemukakan oleh defendan adalah tidak berasas, tidak benar dan berniat jahat.
Ujarnya, kenyataan itu memberi kesan buruk terhadap reputasinya sebagai Menteri Kabinet, Ahli Parlimen, pemimpin parti sama ada di dalam negeri dan di peringkat antarabangsa.
Oleh itu, beliau menuntut ganti rugi am, teruk, teladan dan lain-laif relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Turut dimohon ialah perintah injuksi bagi menghalang defendan daripada terus menerbitkan kenyataan berbaur fitnah itu. – UTUSAN ONLINE










