KUALA TERENGGANU 4 Jan. – Keadaan angin kencang dan ombak bergelora akibat tempias ribut tropika Pabuk yang membadai Terengganu sejak kelmarin beransur pulih hari ini.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Left. Kol. (PA) Che Adam Abd. Rahman berkata, tiada lagi angin kencang dikesan buat masa ini di samping ketinggian ombak di luar pantai yang direkodkan antara 1.15 meter dan dijangka kembali normal dalam tempoh 24 jam akan datang.
“Secara keseluruhannya kesan akibat ribut tropika Pabuk beransur pulih dengan cuaca baik walaupun sedikit mendung di beberapa daerah di pedalaman.
“Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi fenomena cuaca ini dijangka pulih sepenuhnya lewat petang ini,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Che Adam turut menasihatkan orang ramai agar tidak lagi melakukan aktiviti rekreasi atau berada di persisiran pantai bagi mengelak sebarang kesan terutama jika sesekali ombak membadai.
Katanya, pihak Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana sentiasa bersiap-siaga di seluruh daerah memandangkan Terengganu masih berada dalam tempoh monsun timur laut yang dijangka berakhir Mac depan.
“Kesiapsiagaan ini masih diteruskan di peringkat daerah, komuniti dan pejabat daerah di seluruh negeri,” katanya.
Dalam pada itu, notis amaran cuaca waspada peringkat kuning yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi bagi negeri ini dan Kelantan pada Isnin lalu berikutan pembentukan siklon tropika di perairan Laut China Selatan, ditamatkan pagi tadi.
Turut ditamatkan adalah amaran angin kencang dan laut bergelora. – UTUSAN ONLINE










