Taufan Pabuk: Pengusaha pelancongan perlu dapatkan situasi terkini laut - Utusan Malaysia

Taufan Pabuk: Pengusaha pelancongan perlu dapatkan situasi terkini laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT 4 Jan. – Pengusaha pusat pelancongan di sekitar daerah Manjung dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan di laut sebelum menjalankan sebarang aktiviti berikutan amaran ribut tropika Pabuk yang dijangka melanda Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata maklumat atau informasi itu boleh diperoleh menerusi Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi memastikan tiada ancaman ketika aktiviti laut sedang dijalankan.


Beliau, bagaimanapun berkata keadaan laut di lokasi peranginan seperti Teluk Batik, Teluk Senangin dan Pulau Pangkor pada ketika ini dalam keadaan selamat dan berada di bawah pemantauan Jabatan Laut Malaysia.


“Pada masa sekarang, kita tidak menerima arahan daripada pihak polis ataupun bomba untuk menghentikan sebarang aktiviti laut cuma kita menasihati pengusaha pelancongan meneliti keadaan laut terlebih dahulu dengan pihak berkaitan.


“Kita tidak mahu ada kejadian tidak diingini berlaku biarpun kita sentiasa dalam keadaan bersedia menghadapi sebarang bentuk ancaman cuaca,” katanya kepada pemberita pada Mesyuarat Penyelarasan Berkaitan Penguatkuasaan Wabak Denggi Daerah Manjung di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai Perak yang merupakan antara negeri selain Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, dijangka menerima kesan akibat ribut tropika Pabuk. 


Dalam pada itu, Mohamad Fariz yang juga Pegawai Daerah Manjung, berkata pihaknya sentiasa berada dalam keadaan siap siaga termasuk dalam aspek pengurusan bencana selain mendapatkan maklumat terkini daripada Jabatan Laut Malaysia dan MetMalaysia dari semasa ke semasa.


“Kita sentiasa berhubungan dengan pelbagai agensi laut dan juga pihak polis dan bomba bagi memastikan persediaan awal dijalankan sekiranya ancaman ribut bakal berlaku di kawasan ini.


“Kesemua bekalan kepada mangsa juga sudah disiapkan untuk kita bersedia menghadapi sebarang senario cuaca yang mungkin berlaku,” katanya.


Sementara itu, seorang pengusaha pusat pelancongan, Rosmani Abdul Rashid berkata dia mengambil langkah berjaga-jaga berikutan fenomena ribut tersebut dan tidak mahu mengambil risiko melakukan aktiviti laut pada waktu ini.


Rosmani, 37, yang mengusahakan syarikat Fierose Ventures sejak 2015, berkata dia turut mendapatkan nasihat daripada pengusaha pelancongan yang lain mengenai keadaan semasa laut dan kebanyakannya turut khuatir dengan keadaan cuaca ketika ini.


“Sebenarnya sejak Disember kita sudah kurangkan aktiviti laut seperti ‘island hopping’ disebabkan musim tengkujuh. Kita juga ada menasihati pelancong agar menganjakkan tarikh jika mahu membuat aktiviti laut terutama ketika ribut tropika Pabuk yang sedang melanda dan semua ini bergantung kepada keputusan pelancong terbabit,” katanya.- BERNAMA



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN