PUTRAJAYA 4 Jan.- Tabung Wira Merah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang dilancarkan sejak 9 Oktober hingga 31 Disember tahun lalu berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM393, 802.
Jabatan itu dalam kenyataannya mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menghulurkan sumbangan untuk enam anggota yang terkorban semasa menjalankan tugas di Lombong Taman Putra Perdana Puchong, Selangor pada 3 Oktober lalu.
“Untuk makluman, Tabung Wira Merah JBPM yang dilancarkan sejak 9 Oktober hingga 31 Disember lalu khusus untuk enam Wira Merah telah memperoleh sumbangan sebanyak RM393,802.
“JBPM ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada orang ramai yang banyak menghulurkan sumbangan di atas pemergian enam Wira Merah yang terkorban semasa menjalankan tugas,” kata jabatan itu dalam satu kenyataannya di sini hari ini.
Pada 3 Oktober lalu, enam anggota Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) iaitu Mohd. Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25; Yahya Ali, 24; Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, lemas ketika operasi mengesan seorang remaja yang hilang di Lombong Taman Putra Perdana Puchong. – UTUSAN ONLINE










