Tabung khas bantu B40 milik rumah - Utusan Malaysia

Tabung khas bantu B40 milik rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 24 Jan. – Kerajaan Pusat dicadangkan untuk menubuhkan sebuah tabung khas dalam usaha membantu isi rumah golongan berpendapatan rendah (B40) memiliki rumah.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, menerusi cadangan kerajaan negeri itu, tabung khas itu akan memiliki fungsi sama seperti syarikat jaminan kredit (CGC) yang pernah diwujudkan sebelum ini.

Beliau turut menekankan kepada kerajaan supaya melihat bukan hanya untuk membina rumah kepada golongan B40 tetapi juga masalah yang dihadapi golongan itu untuk mendapatkan pinjaman.

“Pada Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MMPN) baru-baru ini, saya cadangkan tubuh satu tabung seperti dahulu iaitu CGC bagi membantu industri kecil dan sederhana (IKS) mendapatkan pinjaman dengan kerajaan sebagai penjamin dan pinjamkan kepada mereka yang berkemampuan membuat bayaran balik, tetapi kurang daripada segi pendapatannya.

“Jika mereka tidak bayar juga, kerajaan boleh ambil CGC ini dan tubuhkan dana harta, apabila ekonomi mereka kembali pulih, kita jualkan semula kepada mereka yang mampu bayar,” katanya selepas lawatan ke YPJ Holdings Sdn. Bhd. di sini sebentar tadi.

Beliau berkata, selain rundingan terus dengan kerajaan negeri dan pemaju, kerajaan perlu mencari penyelesaian bagi membantu pembeli sekali gus merealisasikan sasaran kerajaan untuk membina sejuta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun. – UTUSAN ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×