CAMERON HIGHLANDS 26 Jan. – Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas
mencadangkan supaya kerajaan menetapkan syarat seseorang calon yang bertanding dalam pilihan raya mesti merupakan dari komuniti setempat dan layak mengundi di kawasan yang ditandinginya.
Menurutnya, ini bagi mengelak calon luar daripada bertanding seperti dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands apabila calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd. Nor dan calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran yang tidak mengundi di sini.
Dua lagi calon Bebas, iaitu Wong See Yee dan Sallehudinn Ab. Talib masing-masing mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bertam Valley di sini dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Koyan 1 di Lipis.
“Daripada awal lagi kita sudah katakan bahawa calon yang bertanding di sini merupakan orang luar yang tidak ada berkaitan dengan Cameron Highlands tetapi bertanding di sini.
“Ini satu kesilapan dalam sistem kita dan saya harap pada masa akan datang kerajaan dan SPR boleh mencari jalan supaya seseorang calon yang bertanding mestilah daripada komuniti setempat dan mengundi di kawasan yang ditandinginya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah di Tanah Rata di sini hari ini.
Menurutnya, banyak negara maju yang mengamalkan sistem calon yang bertanding dalam pilihan raya perlu dipilih oleh komuniti setempat.
Katanya, sebelum dicalonkan, komuniti setempat akan menilai terlebih dahulu sama ada seseorang calon itu boleh berkhidmat atau tidak.
“Tapi di sini keadaannnya berbeza dan kita harap kerajaan baharu boleh mengubah sistem ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










