SUV berjaya dinaikkan dari dasar laut - Utusan Malaysia

SUV berjaya dinaikkan dari dasar laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG – Kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mazda CX 5 yang terhumban ke dasar laut selepas terlibat dalam kemalangan awal pagi Ahad lepas berjaya diangkat keluar menggunakan kren pada pukul 5.50 petang tadi.

SUV tersebut berjaya dinaikkan ke atas Jambatan Pulau Pinang kira-kira pukul 6.05 petang dan mangsa, Muey Yun Peng, 20, pula ditemui di bahagian tempat duduk pemandu.

Usaha menaikkan kenderaan itu bagaimanapun terpaksa mengambil masa lebih 24 jam selepas ditemukan pada tiang 34 Jambatan Pulau Pinang kira-kira pukul 4 petang semalam.

Ketika ini, usaha mengeluarkan mayat mangsa sedang dilakukan pasukan penyelamat di atas Jambatan Pulau Pinang sebelum dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) bagi proses bedah siasat.

Operasi menaikkan kenderaan itu bermula kira-kira pukul 7 pagi hari ini yang disertai oleh seramai 41 penyelam daripada empat agensi bagi mengikat tali pada badan kenderaan itu.

Bagaimanapun, usaha itu hanya berjaya dilakukan kira-kira pukul 4 petang tadi berikutan arus di bawah laut yang agak deras selain faktor penglihatan penyelam pada paras sifar.

Terdahulu, SUV tersebut terjunam ke dalam laut selepas terbabit dalam kemalangan bersama Toyota Vios yang dipandu secara merbahaya dan melulu dalam kejadian kira-kira pukul 2.55 pagi awal pagi Ahad lalu. – K! ONLINE

suv
SUV tersebut berjaya dinaikkan ke atas Jambatan Pulau Pinang kira-kira pukul 6.05 petang.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN