KLANG – Seorang suspek yang sebelum ini ditahan Maritim Malaysia (APMM) kerana menyeludup 22 ketul syabu seberat 23 kilogram melalui perairan Tanjung Rhu, Sepang dekat sini, Rabu lalu ditemui mati selepas dipercayai menggantung diri pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu, lelaki berusia 31 tahun itu ditemui tergantung pada jeriji di dalam lokap APMM Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang di sini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, siasatan awal mendapati suspek yang merupakan seorang nelayan telah menggantungkan dirinya pada jeriji besi dengan menggunakan baju lokap APMM.
Beliau berkata, pengesahan kematiannya dilakukan penolong pegawai perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
“Pihak forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor juga telah lokap terbabit bagi membantu siasatan.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang kecederaan luaran ditemui pada badan lelaki terbabit dengan mayat telah dihantar ke HTAR untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau menambah, laporan bedah siasat mengesahkan tiada unsur jenayah atau kesan kecederaan pada badannya dengan mangsa menggantung diri sendiri.
Jelas Nurulhuda, suspek sebelum ini direman selama tujuh hari sehingga esok bagi membantu siasatan penyeludup an syabu ke negara jiran minggu lalu.
Kosmo! pada Jumaat lalu melaporkan taktik licik dua nelayan tempatan menyembunyikan 23 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM3.4 juta di dalam tong ikan untuk diseludup ke negara jiran gagal selepas ditahan di perairan Tanjung Rhu, Sepang dekat sini.
Dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, kedua-dua suspek yang ditahan berusia 27 dan 31 tahun. – K! ONLINE










