KUALA LUMPUR 24 Jan. – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Januari 2019.
Pemilihan Seri Paduka dibuat dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-251 (Khas) di Istana Negara hari ini.
Sultan Abdullah menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 berkuat kuasa 6 Januari lalu selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Disember 2016.
Mesyuarat tersebut turut memilih Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama, menurut kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad hari ini.
Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja, yang dipengerusikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, dihadiri oleh kesemua Sultan dan Raja-Raja Melayu kecuali Kelantan.
Kenyataan itu menyebut menurut peruntukan Paragraf 3, Bahagian Pertama Jadual Ketiga Perlembagaan, keputusan Majlis Raja-Raja telah dikemukakan kepada kedua-dua Dewan Parlimen.
“YAB Perdana Menteri juga telah dimaklumkan,” kata Syed Danial.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan pada 7 Januari berkata, Majlis Raja-Raja memutuskan istiadat melafaz sumpah jawatan dan menandatangani surat memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong baharu dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong ditetapkan pada 31 Januari ini. – BERNAMA










