Sultan Muhammad V letak jawatan - Utusan Malaysia

Sultan Muhammad V letak jawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuat kuasa semalam.

Peletakan jawatan tersebut diumumkan menerusi satu kenyataan media Istana Negara­ oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab. Aziz.

Menurut Wan Ahmad Dah­lan, baginda telah memaklumkan perkara tersebut secara rasmi kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja melalui warkah yang diutuskan kepada Setiausaha Majlis Raja-Raja.

“Sepanjang menjalankan tugas, baginda telah berusaha memenuhi tanggungjawab dan amanah selaku Ketua Negara yang berperanan sebagai tunggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan dalam kalangan rakyat.

“Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja yang telah memilih baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong bermula 13 Disember 2016,” katanya.

Jelasnya, baginda juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri dan kerajaan kerana telah memberi kerjasama dalam mentadbir negara.

“Selaku Pemerintah Ter­tinggi Angkatan Tentera, baginda berbangga dengan pengorbanan serta taat setia yang telah dicurahkan kepada baginda dan negara selama ini.

“Kepada rakyat Malaysia, baginda bertitah supaya terus bersatu mengekalkan perpaduan, bertolak ansur dan sepakat dalam memikul tanggungjawab terhadap negara supaya Malaysia berada dalam keadaan aman dan harmoni,” ujarnya.

Wan Ahmad Dahlan ber­kata, baginda bersedia berangkat pulang ke Kelantan untuk bersama-sama kerajaan dan rakyat negeri itu bagi menjaga dan membangunkan Kelantan demi kesejahteraan rakyat.

Sultan Muhammad V ditabal sebagai Yang di-Pertuan ­Agong ke-15 pada 24 April 2017 selepas mengangkat sumpah jawatan itu pada 13 Disember 2016 bagi tempoh lima tahun berakhir 12 Disember 2021.

Baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-243 (Khas) pada Oktober 2016 yang turut memilih Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Muhammad V menggantikan Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang tamat tempoh peme­rintahan sebagai Yang di-Pertuan­ Agong ke-14 pada 12 Disember 2016.

Sultan Muhammad V sebelum ini bercuti bagi menjalani rawatan bermula 2 November sehingga 31 Disember tahun lalu dengan tugas Yang di-Pertuan Agong dipangku timbalan baginda, Sultan Nazrin.

Dalam sistem demokrasi raja berperlembagaan Malaysia, pemilihan Yang di-Pertuan­ Agong dilakukan secara bergilir-gilir pada setiap lima tahun.

Peletakan jawatan oleh Sultan Muhammad V sebagai ke­tua negara adalah yang per­tama dalam sejarah negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×