Sultan Abdullah ketua negara baharu - Utusan Malaysia

Sultan Abdullah ketua negara baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 30 Jan. – Bermula esok, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah akan berangkat meninggalkan Istana Abdulaziz di sini untuk bersemayam di Istana Negara sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Sultan Pahang Keenam dalam era moden itu akan menggalas tugas sebagai ketua negara baharu bagi tempoh lima tahun untuk mengisi kekosongan di­tinggalkan Sultan Kelantan, Sultan Muhamad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15.

Pelantikan Sultan Abdullah, 60, mengetuai negara mengulangi sejarah ayahanda baginda, Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah yang dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong Ketujuh dari 26 April 1979 hingga 25 April 1984.

Sehingga 6 Januari lalu, tiada siapa menduga baginda yang 44 tahun diangkat sebagai Tengku Mahkota Pahang dan dua kali menjadi Pemangku Raja Pahang mengisi jawatan ketua negara memandangkan pemerintahan Sultan Muhamad V masih berbaki kira-kira tiga tahun.

Dalam sistem demokrasi raja berlembagaan Malaysia, pemilihan Yang di-Pertuan Agong dilakukan secara bergilir pada setiap lima tahun dan peletakan jawatan oleh Sultan Muhammad V sebagai ketua negara adalah yang pertama dalam sejarah negara ini.

Hakikatnya, pemilihan Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 adalah ketentuan Allah SWT yang mana pemasyhurannya sebagai Sultan Pahang Keenam pada 15 Janua­ri lalu membuka ruang kepada baginda untuk memegang jawatan berkenaan.

Pengalaman sebagai Tengku Mahkota Pahang sejak 1975 dan dua kali sebagai Pemangku Raja Pahang, tradisi giliran jawatan Yang di-Pertuan Agong serta ketokohan Sultan Abdullah menjadikan baginda pemerintah paling layak diangkat mengisi kekosongan yang ditinggalkan Sultan Muhammad V.

Pelantikan Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 seperti dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja yang bermesyua­rat 24 Januari lepas turut mencatatkan sejarah tersendiri apabila baginda hanya dua minggu berada di singgahsana takhta Kesultanan Melayu Pahang seterusnya memegang jawatan ketua negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×