Suara hati insan apolitikal - Utusan Malaysia

Suara hati insan apolitikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apolitikal diterjemah oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai individu yang tidak suka politik atau menjauhi politik, dan istilah lain ialah `polos politik’ Sejak kebelakangan ini, tiba-tiba ramai pula kenalan yang mengisytiharkan diri sebagai apolitikal.

Mungkin ia berpunca daripada faktor parti yang disokong tewas tetapi nampaknya ramai disebabkan parti yang disokong tidak berbeza dengan yang ditewaskan. Kelompok apolitikal sejati ialah sejak awal mereka kurang bercakap mengenai politik sama ada di kedai kopi atau dalam media sosial. Ada melabel mereka sebagai ‘the silent majority’.

Sekali-sekala tercetus suara mereka, itu pun hanya bila apa yang dilihat saat dan ketika itu, diklasifikasikan sebagai ‘meruncing’ yang tidak boleh didiamkan lagi. Dan sekarang sedikit demi sedikit mereka pula muncul kembali. Ini setelah sembilan bulan pilihan raya umum berlalu yang menyaksikan Barisan Nasional ditumbangkan, diganti oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Oleh kerana analisis ini disiarkan di dalam Mingguan Malaysia, pasti ada yang akan pantas menolaknya sebagai agenda pro-BN dan anti-PH. Jika demikianlah caranya, anda tidak pernah membaca Merrepak selama ini.

Jadi, bersabarlah sedikit. Baca satu demi satu penghujahan sehingga habis. Kemudian hendak lawan hujah, dipersilakan. Asalkan jangan mencarut dan menyumpah seranah kerana artikel ini diperturunkan secara penghujahan fakta, bukan cut and paste daripada Internet.

1. Ekonomi

Sebagai individu apolitikal, lazimnya keutamaan hidup ialah dapat mencari rezeki halal untuk menyara keluarga dan juga kemudahan melaksanakan ibadah di masjid. Diminta ber­tan­ding jawatan AJK masjid keberatan, apalagi diminta aktif dalam kepartian. Golongan ini selesa dengan apa yang ada, dan amat menghargai makna privasi.

Terjemahannya: Jika seseorang ahli politik itu berjaya menguruskan ekonomi negara dengan keupayaan menarik ramai pelabur asing, mengekang kenaikan harga barangan dan mengawal kos kehidupan, maka merekalah yang mendapat undi kelompok apolitikal ini.

Kerajaan BN diiktiraf sebagai yang cukup mesra perniagaan. Sepatutnya, prinsip ini diteruskan. Yang pertama dibuat oleh kerajaan PH ialah membatalkan banyak projek atas pelbagai alasan daripada ‘kaedah pemberian kontrak meragukan, penilaian keterlaluan, tidak penting dan sebagainya’. Ini memberi isyarat negatif kepada masyarakat pelabur antarabangsa dan tempatan.

Pengaliran keluar dana asing bagi Disember 2018 ialah RM858.7 juta, sekali gus mengakibatkan nilai saham mengalami kerugian besar, berjumlah RM300 bilion.

Rakyat marhaen mungkin bertanya, apa kaitan dengan mereka? Banyak. Sebab nega­ra tiada modal baharu untuk menjana pendapatan, ini memaksa kerajaan mencari kaedah lain untuk mendapatkan dana seperti menaikkan tarif elektrik, air dan pelbagai cukai lain. Sakit kan?

1 Januari 2019 seharusnya menjadi titik baharu untuk semua memulakan langkah di dalam era Malaysia Baharu. Tetapi tanyalah diri anda sendiri berkenaan ekonomi, rasa optimis atau gundah gulana?

2. Masih baharu?

Penyokong PH akan tampil membela bahawa segala pem­baharuan tidak dapat dikecapi sekelip mata. Baru sembilan bulan. Tidak juga dinyatakan kena tunggu satu atau lima tahun. Berapa lama mereka hendak guna alasan ‘masih baharu’, hanya masa akan menjadi saksi kerana alasan ini semakin tidak laku, malah dalam kalangan mereka yang dikenali sebagai anti-BN sekian lama. Itulah yang disebut oleh Datuk S. Ambiga pada 23 Januari lalu, yang membidas kerajaan PH kerana didapati tidak melakukan pembaharuan dalam syarikat milik kerajaan (GLC) seperti dijanjikan dalam manifesto PRU-14. Bekas Pengerusi Bersih itu berkata, kerajaan sepatutnya menu­buhkan pasukan petugas dalam melakukan perubahan itu.

Semasa PRU-14, kerajaan PH telah berjanji untuk tidak melantik golongan ahli politik dalam GLC dan agensi-agensi serupa bagi mengelak daripada budaya yang telah lama diperkenalkan BN. Tetapi inilah yang berlaku sekarang.

Ini belum menyentuh pertukaran pegawai-pegawai kanan kerajaan yang nama mereka sudah diumumkan pada awal tahun, tetapi ber­ubah lagi selang dua minggu kemudian. Inikah yang dimak­sudkan sebagai ‘masih baharu’?

3. Apa masalah PH dengan Najib?

Ketika artikel ini ditulis, kepu­tusan Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands belum diketahui. Semua tahu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melantun-lantun populariti semasa turun membantu kempen di situ. Malah ada penganalisis politik mengaitkan kemenangan BN itu menandakan ‘kebangkitan semula’ Najib.

Mohon maaflah ya. Kami daripada kelompok apolitikal ini menyifatkan pandangan sedemikian amat ringkas, tidak tepat dan menghina kecerdasan.

Najib sendiri sudah mengaku tidak berminat kembali sebagai PM atau presiden parti. Tiada siapa dalam BN pun mahu beliau kembali.

Sebaliknya, kami mahu Najib diberi peluang mempertahankan diri di mahkamah atas tuduhan salah laku di dalam syarikat 1MDB. Jika didapati bersalah, hukumlah sewajarnya. Tiada masalah. Cerita 1MDB ini makin meluat hendak dengar. Bosan.

Kerajaan PH harus sedar bahawa tindakan berterusan taasub terhadap Najib akan hanya backfire iaitu timbul rasa meluat dalam kalangan rakyat. Biarkan Najib. Beliau ada kes mahkamah. Biar dia buktikan diri bersalah atau tidak. Biar mahkamah uruskan Najib.

Paling molek sekarang ialah bagi kerajaan PH bekerja lebih serius kerana rakyat mahu soal ekonomi negara, kos kehidupan tinggi dan integriti ditangani sebaik-baiknya. Berhenti berpolitik. Binalah negara seperti janji-janji yang diberi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN