SKUAD Tok Gajah berharap Persidangan Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada 16 Januari ini akan memberi berita gembira mengenai status pemain naturalisasi pasukan itu, Mohamadou Sumareh.
Pengurus pasukan Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, pihaknya amat berharap agar Sumareh dapat didaftarkan sebagai pemain tempatan dan bukannya kuota import.
“Kita akur dengan peraturan MFL sebelum ini iaitu Sumareh hanya dibenarkan berdaftar sebagai pemain tempatan selepas Mac 2019.
“Namun, agak pelik untuk daftar Sumareh sebagai pemain import sebelum tarikh berkenaan kerana dia sudah mempunyai kad pengenalan sebagai warganegara Malaysia,” katanya yang dihubungi Kosmo! semalam.
Menurutnya, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) telah mengemukakan dua rayuan sebelum ini agar membenarkan Sumareh didaftarkan sebagai pemain tempatan sebelum saingan Liga Malaysia (Liga M) 2019 bermula.
“Rayuan dibuat berdasarkan sumbangan Sumareh yang telah membantu skuad kebangsaan meraih naib juara Piala AFF Suzuki 2018 baru-baru ini,” ujarnya.
Tambahnya, keputusan mengenai status Sumareh juga penting bagi melancarkan persiapan skuad Tok Gajah terutamanya melibatkan pencarian kuota pemain import.
Kelmarin, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam memberitahu media bahawa status pendaftaran Sumareh akan diketahui pada 16 Januari ini.
Beliau memberitahu, rayuan PBNP yang diterima pada 19 Disember lalu perlu mengikut prosedur menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL sebelum keputusan muktamad dibuat.
Katanya, MFL tidak melengahkan status pendaftaran Sumareh sebaliknya mereka membuat penilaian teliti kerana tidak mahu sewenang-wenangnya memberi kelonggaran dalam pendaftaran pemain naturalisasi bagi menjaga kepentingan pemain tempatan pada masa depan.









