SPRM tahan tiga individu bantu siasatan kes rasuah dan tuntutan palsu - Utusan Malaysia

SPRM tahan tiga individu bantu siasatan kes rasuah dan tuntutan palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Tiga individu termasuk dua pengarah syarikat dan seorang ejen insuran wanita ditahan reman hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah serta tuntutan palsu dianggarkan bernilai kira-kira RM1.8 juta.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pengarah syarikat bergelar Datuk berusia 44 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari manakala seorang lagi pengarah syarikat berusia 51 tahun ditahan kira-kira sejam kemudian.

Sementara itu, seorang lagi suspek wanita yang juga ejen insuran berusia 29 tahun ditahan kira-kira pukul 2.00 petang.

Ketiga-tiga ditahan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya di sini ketika hadir memberi keterangan.

“Mereka disyaki menerima rasuah daripada pembekal peralatan kilang berhubung pembelian mesin bagi operasi sebuah syarikat yang kedua-dua pengarah syarikat itu turut mempunyai saham,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek juga disyaki terlibat dalam salah guna kuasa ke atas dana syarikat untuk kepentingan peribadi.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Seri Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman  terhadap ketiga-tiga suspek esok di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×