KUANTAN 31 Jan. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri menahan Pengurus Kanan Kewangan Pasdec Holdings Sdn. Bhd. kerana disyaki melakukan pecah amanah wang berjumlah RM320,000.
Pengarah SPRM negeri, Mohamad Fauzi Husin berkata, lelaki berusia 50 tahun itu ditahan pukul 4 petang ini di Pejabat SPRM negeri.
Katanya, suspek disyaki pecah amanah ke atas wang diterima daripada kerja-kerja tanah Pasdec antara Ogos 2014 hingga Mac 2016.
“Wang berjumlah RM320,000 itu dimasukkan ke dalam akaun suspek tanpa pengetahuan dan kelulusan ahli lembaga pengarah Pasdec dan melanggar had kuasa ditetapkan.
“Pada awalnya siasatan mendapati, suspek disyaki menerima rasuah sebagai balasan memudahkan urusan kerja mengambil dan mengeluarkan tanah di kawasan milik Pasdec,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Mohamad Fauzi berkata, siasatan lanjut mendapati suspek disyaki melakukan kesalahan pecah amanah melibatkan wang yang diterimanya.
Menurutnya, lelaki berkenaan dijangka akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat. – UTUSAN ONLINE










