KUALA LUMPUR 14 Jan. – Beberapa individu yang memegang jawatan kanan dalam kerajaan mendedahkan mengenai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat mengenai unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam Kementerian Dalam Negeri.
Mereka berkata, badan penguatkuasa itu telah pun menerima maklumat bahawa pertukaran Ketua Pengarah Imigresen baru-baru ini mungkin mempunyai perkaitan dengan cubaan menganugerahkan kontrak teknologi maklumat (IT) jabatan itu yang bernilai RM3.5 bilion.
“Jika anda ingat, hujung tahun lalu terdapat pengumuman yang dibuat Menteri Dalam negeri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) bahawa kerajaan memutuskan untuk membatalkan projek yang digelar SKIN (Sistem Kawalan Imigresen Nasional) yang bernilai RM3.5 bilion.
“Banyak sebab yang diberikan atas pembatalan projek itu. Namun, baru-baru ini, kami menerima maklumat bahawa kementerian memutuskan untuk menyerahkan kepada syarikat lain pelaksanaan projek itu. Syarikat ini dikatakan mempunyai kaitan dengan pegawai kanan dalam kementerian,” kata satu sumber kepada portal berita, Malaysiakini.
Seorang lagi sumber yang memegang jawatan kanan mendedahkan, SPRM difahamkan bahawa pegawai yang dimaksudkan mempunyai kaitan dengan syarikat yang dijangka akan dianugerahkan kontrak projek itu.
“Ia projek sama untuk kos yang sama, dengan penjenamaan semula untuk beri nama baru. Disember lalu, Muhyiddin mengumumkan bahawa Kabinet memutuskan untuk membatalkan projek SKIN dan digantikan dengan sistem dalam talian sepenuhnya yang digelar myIMMs Global,” ujarnya.
Muhyiddin memberitahu pemberita ketika itu bahawa keputusan berkenaan dibuat berdasarkan keperluan untuk sebuah sistem baru yang lebih komprehensif, berkesan, mesra pengguna, selain bagi menjimatkan dana kerajaan.
Sumber berkenaan mendakwa pegawai kanan yang dikaitkan dalam isu berkenaan dijadualkan dipindahkan ke kementerian lain, namun ia tidak berlaku susulan campur tangan ‘orang atas’.
“Pertukaran terbaharu bagi jawatan Ketua Pengarah Imigresen dikatakan mempunyai kaitan dengan pegawai kanan itu yang berada dalam kementerian.
“Penyiasat sedang meneliti perkara ini. Sekiranya terdapat bukti rasuah, ia merupakan kesalahan serius dan akan ditangani mengikut undang-undang seperti mana-mana kes rasuah lain,” kata seorang sumber lain.
Awal bulan ini, Datuk Jamil Rakon yang merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri diumumkan akan dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen yang baharu menggantikan Datuk Seri Mustafar Ali yang dipindahkan ke Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan.
Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri semalam mengumumkan Datuk Khairul Dzaimee Daud dilantik sebagai ketua pengarah Jabatan Imigresen meskipun Jamil sudah menerima surat penyerahan tugas daripada Mustafar Khamis lalu.
Kementerian Dalam Negeri juga memaklumkan bahawa Jamil akan kekal memegang jawatannya sebelum ini sebagai ketua setiausaha. – UTUSAN ONLINE










