KUALA LUMPUR – Beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai mengakui terkejut selepas meraih kemenangan mudah ketika bertemu pasangan Jepun, Takuro Hoki-Wakana Nagahara pada aksi pusingan kedua kejohanan badminton Malaysia Masters 2019 di Axiata Arena, Kuala Lumpur sebentar tadi.
Pasangan yang berada di kedudukan ke-11 dunia itu menang straight set 21-13, 21-19 hanya dalam tempoh 32 minit sekali gus menjadi pemain negara pertama layak ke saingan separuh akhir kejohanan berkenaan.
“Saya tidak sangka kami boleh menang mudah pada hari ini kerana pasangan Jepun berkenaan bukan mudah untuk ditewaskan. Walaupun mereka baru digandingkan bersama, tetapi mereka hebat ketika beraksi dalam acara individu.
“Saya berharap kami dapat meneruskan rentak kecemerlangan sehingga ke aksi final walaupun dijangka berdepan laluan berliku sebaik memasuki saingan suku akhir,” kata Shevon ketika ditemui Kosmo! Online. – K! ONLINE










