Skuad Badar: Pas akan dapatkan maklumat terperinci - Utusan Malaysia

Skuad Badar: Pas akan dapatkan maklumat terperinci

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN 15 Jan. – Pas akan mendapatkan maklumat terperinci berhubung penangkapan presiden dan ahli Skuad Badar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Kedah di sini, malam kelmarin.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, setakat ini beliau tidak mempunyai maklumat mengenai perkara itu dan perlu merujuk dengan Pas Kedah untuk butiran lanjut.

“Saya tidak ada maklumat terperinci, perlu maklumat terperinci.

“Saya tidak tahu, tidak kenal pihak mana dan ini perlu maklumat dari Kedah,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Dewan Datuk Seri Tuan Guru di Pusat Latihan Darul Iman (DITC) Teluk Kalong oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, di sini hari ini.

Presiden Skuad Badar berusia 46 tahun dan ahlinya berumur 30-an itu dikatakan menjalankan aktiviti mencegah kemungkaran dalam kalangan orang Islam, mereka direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

Difahamkan, penahanan itu dilakukan susulan satu laporan polis tentang kegiatan kumpulan tersebut baru-baru ini yang tular di Facebook.

Antara aduan yang dikatakan dibuat terhadap skuad berkenaan adalah kerana menjalankan aktiviti penguatkuasaan tanpa kebenaran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) selain tidak pernah dilantik menjadi pegawai penguatkuasa agama.

Selain itu, pertubuhan bukan kerajaan terbabit juga didakwa tidak berdaftar serta memasuki premis tanpa kebenaran dan waran geledah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×