PUTRAJAYA – Perdana Menteri melancarkan Skim Perlindungan Nasional B40 (Skim mySalam) yang akan memberi perlindungan takaful kepada golongan pendapatan bulanan 40 peratus terendah (B40) di negara ini.
Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Skim mySalam yang bermula 1 Januari lalu itu akan memanfaatkan seramai 3.69 juta rakyat berusia antara 18 hingga 55 tahun daripada senarai penerima Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR) 2019.
Menurut beliau, sumbangan permulaan sebanyak RM2 bilion daripada syarikat insurans dan takaful Great Eastern digunakan untuk membayar setiap penerima di bawah skim tersebut.
“Skim mySalam menyediakan perlindungan takaful untuk membantu golongan B40 menangani kesulitan kewangan yang timbul akibat kemasukan ke wad hospital kerajaan.
“Tuntutan takaful yang diterima daripada skim mySalam itu boleh memberi kelegaan sementara bagi membantu mengekalkan keperluan hidup dan perbelanjaan harian sementara menjalani rawatan perubatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam) di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, penerima yang layak juga akan mendapat perlindungan kesihatan secara percuma untuk 36 jenis penyakit kritikal termasuk kanser, serangan jantung dan Alzheimer.
“Skim ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman dalam kalangan B40
mengenai perlindungan insurans dan takaful,” katanya.
Sementara itu, Guan Eng ketika berucap berkata, Skim mySalam dijangka akan menawarkan perlindungan perubatan sekurang-kurangnya lima tahun untuk golongan sasaran.
Jelasnya, kerajaan akan menggunakan sumbangan RM2 bilion yang diterima untuk membayar kadar premium insurans perlindungan sosial sebanyak RM112 setiap individu di bawah skim tersebut.
“Bagi penerima yang dikenal pasti menghidap salah satu daripada penyakit kritikal tersebut, mereka akan mendapat bayaran sebanyak RM8,000 secara one-off.
“Skim ini juga memberi bayaran harian sebanyak RM50 sebagai pendapatan gantian jika penerika menjalani rawatan di mana-mana hospital kerajaan untuk tempoh maksimum 14 hari setiap tahun,” katanya.
Dalam pada itu, Guan Eng berkata, penerima B40 yang layak boleh membuat tuntutan mulai 1 Mac depan.
Menurutnya, selepas tarikh tersebut, semua penerima akan dimaklumkan melalui sistem pesanan ringkas dan perkhidmatan sokongan pelanggan juga akan mula beroperasi.
“Jika terdapat tuntutan, penerima boleh mengemukakannya beraama dokumentasi lengkap melalui portal mySalam di atas talian atau di mana-mana pejabat Great Eastern di seluruh negara.
“Setelah tuntutan diluluskan, pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima,” katanya. – K! ONLINE










