Sistem pemilihan unik tetapi penuh tertib mengikut Perlembagaan - Utusan Malaysia

Sistem pemilihan unik tetapi penuh tertib mengikut Perlembagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SECARA tradisinya, tidak pernah mana-mana Raja tampil mengakui secara pasti akan dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong berikutnya.

Walaupun dalam senarai giliran seterusnya, namun Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan tata cara pemilihan. Ini termasuk perlu mendapat undi sokongan daripada lima orang anggota Majlis Raja-raja untuk dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Dalam Bahagian I, Jadual Ketiga Perlembagaan juga menyebut Majlis Raja-raja mempunyai hak melalui undi sulit untuk membuat ketetapan yang seseorang Raja itu tidak sesuai untuk menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong disebabkan oleh kelemahan akal atau tubuhnya, atau kerana apa-apa sebab lain.

Maka, secara sahih siapa Yang di-Pertuan Agong ke XVI hanya akan diketahui apabila kenyataan akhbar dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja selepas Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja esok.

Sekarang, semua tertumpu kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah kerana Pahang dalam senarai berikutnya untuk dipilih sebagai Ketua Utama Negara Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 32 Perlembagaan.

Apatah lagi, senarai penggiliran Yang di-Pertuan Agong untuk pusingan kedua diikuti oleh Raja-raja Melayu seperti mana ketika pusingan pertama.

Dan Al-Sultan Abdullah yang ditanya hal itu semalam juga memberi reaksi ringkas: “Doakan sahajalah.”

Apa pun, amalannya sebelum proses pemilihan berlangsung, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja terlebih dahulu akan menanyakan Raja yang seterusnya dalam senarai giliran mengenai kesediaannya untuk dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Selepas itu, Raja-raja akan membuat undi sulit dan sekiranya Raja dalam senarai itu mendapat lima undian, baginda dengan rasminya dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong seterusnya.

Yang pasti dari segi rakyat, walaupun masa beredar namun semua menanti dengan penuh minat proses pemilihan Ketua Utama Negara yang cukup unik apabila digilirkan dalam kalangan sembilan Raja-raja Melayu.

Ini bertepatan dengan kebesaran dan kepentingan institusi diraja khususnya Yang di-Pertuan Agong sendiri yang terlibat menjalankan puluhan tugas penting mengikut lunas Perlembagaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×