NILAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menumpaskan satu sindiket penyelewengan Gas Petroleum Cecair (LPG) bersubsidi dalam serbuan kira-kira pukul 1.15 petang di Pandamaran, Klang, Selangor semalam.
Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Cawangan Pencegahan dan Perisikan) KPDNHEP, Suhaimi Mat Sari berkata, sindiket yang beroperasi di sebuah premis tidak berlesen di belakang sebuah kuil itu tumpas hasil risikan pegawai kementerian berkenaan sejak sebulan lalu.
“Sindiket ini menggunakan taktik baharu untuk menjual LPG bersubsidi kepada pihak industri iaitu dengan memindahkannya dari tong LPG 14 kilogram (kg) yang bersubsidi kepada tangki lori terlebih dahulu.
“LPG dalam tangki lori itu kemudian akan dihantar dan dipindahkan kepada tong atau tangki LPG pihak industri. Pasaran sindiket ini dipercayai kilang-kilang di sekitar Lembah Klang,” katanya pada sidang media di Kompleks Penyimpanan Ekshibit KPDNHEP di sini hari ini.
Suhaimi berkata, selain lori tangki berisi LPG bersubsidi, KPDNHEP turut merampas sebanyak 202 tong LPG 14 kg, 62 tong LPG 50 kg, tiga tong LPG 12 kg dan dua batang paip yang digunakan untuk memindahkan LPG terbabit.
Menurut beliau, tong LPG yang dirampas daripada sindiket berkenaan terdiri daripada jenama Solar serta Petron dan anggaran nilai rampasan sebanyak RM150,000.
Kata beliau, anggota sindiket dipercayai warga asing gagal diberkas kerana berjaya melarikan diri semasa serbuan dilakukan, manakala dalang sindiket berkenaan dipercayai warga tempatan.
“Kami bagaimanapun menemui satu pasport milik warga Malaysia di premis itu yang dipercayai boleh membantu siasatan kes ini,” katanya.
Jelas beliau, kes itu disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.
Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, manakala bagi kesalahan kedua boleh didenda RM3 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya. – K! ONLINE










